ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar di kawasan padang yang dipenuhi bunga lalang di Jalan Kuala Ketil. FOTO Nor Farhani Che Ad
ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar di kawasan padang yang dipenuhi bunga lalang di Jalan Kuala Ketil. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


SIAPA sangka kawasan yang berada di tepi jalan tidak jauh dari pekan Kuala Ketil yang sebelum ini dipenuhi belukar, bertukar menjadi pemandangan indah apabila ia dipenuhi dengan tumbuhan bunga lalang.

Fenomena itu dikatakan berlaku selepas kawasan berkenaan terbakar pada Februari lalu dan kini ia menjadi tumpuan pengunjung termasuk pengantin yang menjadikan ia sebagai lokasi penggambaran.

Bagi pengunjung dari Kuala Ketil, Mohd Shamsul Ismail, 41, dia tidak menyangka kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai sejak seminggu yang lalu kerana baginya tumbuhan itu hanyalah sekadar tumbuhan biasa.

“Awalnya saya hairan melihat orang ramai memenuhi kawasan ini kerana jika diikutkan bunga lalang adalah tumbuhan biasa yang dapat dilihat di tempat lain.

“Namun, bila saya berkunjung dan mendekati sendiri kawasan ini, ternyata memang cantik dan berbeza daripada bunga lalang biasa yang saya lihat,” katanya.

Nor Shahidatul Hayati Mohd Adam, 22, dari Baling berkata, dia tidak melepaskan peluang berkunjung ke kawasan itu selepas ia tular di media sosial.

“Saya tidak berkesempatan berkunjung ke jerami gulung, rumput karpet atau melihat pokok bunga tecoma memandangkan lokasi itu berada jauh dari tempat tinggal saya.

“Bila dapat tahu fenomena bunga lalang ini berlaku di sini, saya tidak lepas peluang untuk datang bersama kawan-kawan dan bergambar di sini,” katanya.

Sementara itu bagi jurugambar dari Yan, Omar Sharib, 33, berkata, pemandangan itu memberi peluang kepada jurugambar perkahwinan mendapatkan lokasi menarik untuk sesi fotografi.

“Saya mengetahui lokasi ini ketika dalam perjalanan ke rumah pelanggan yang terletak di Kupang, Baling.

“Bunga lalang yang berwarna putih kekuningan memberi kesan berbeza pada gambar sekali gus memberikan hasil gambar yang lebih cantik dan sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 9:22 AM