PELBAGAI barang tiruan dianggarkan bernilai RM2.5 juta dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, hari ini.

Program Pelupusan Barang Rampasan itu disempurnakan Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Rosli Ahmad, di Kompleks Sentral, dekat Segambut, Kuala Lumpur, 9 pagi hari ini.

Rosli berkata, pelupusan barang hari ini membabitkan 58 kes sitaan yang dilakukan KPDNHEP Kuala Lumpur sejak 2014 sehingga tahun ini, selepas mendapat perintah kebenaran pelupusan dari mahkamah atau pengawal akta.

“KPDNHEP hari ini melupuskan pelbagai barang kes tiruan yang bernilai RM2,451,162 membabitkan 58 kes hasil sitaan yang dibuat bahagian penguatkuasaan.

“Antara barang yang dilupuskan adalah beg tangan, beg galas, dompet, tali pinggang, kasut, jersi, aksesori wanita, kerusi urut dan produk kesihatan,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Beliau berkata, barang yang dilupuskan adalah rampasan atas kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.


TIMBALAN Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosli Ahmad (tengah) melupuskan barangan tiruan yang dirampas pada Program Pelupusan Eksibit Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur, di sini, hari ini. FOTO NSTP

“Dalam siri pelupusan bilangan kelima bagi tahun 2019 yang mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah ini, pelbagai barang berjenama antarabangsa yang dipalsukan dilupuskan seperti Nike, Adidas, Gucci, Chanel, Louis Vuitton, Converse dan Levis,” katanya.

Beliau berkata, bagi tahun 2018 sebanyak 341 kes berjaya mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah yang membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM7.2 juta.

“Manakala bagi tahun 2017 sebanyak 624 kes berjaya mendapat arahan pelupusan dengan nilai rampasan dianggarkan RM11.2 juta,” katanya pada program yang turut dihadiri Ketua Seksyen Harta Intelek Bahagian Penguatkuasaan Low Swee Hon dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Kuala Lumpur Azeem Nazuri.

Beliau menasihatkan orang ramai dan pembeli supaya tidak membeli barangan tiruan kerana selain produk yang kurang berkualiti, ia juga sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 11:35 AM