Siti Sofia Md Nasir dan Siti Norshafikah Rosli


SIMPANAN air di Empangan Air Itam, di Georgetown, hanya mampu bertahan untuk 48 hari, susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jika jumlah hujan turun tidak mencukupi, empangan itu dijangka kehabisan sumber air menjelang akhir Mei ini.

“Empangan Air Itam ini membekalkan air di bandar Air Itam, Paya Terubong, dan kawasan sekitarnya, membabitkan jumlah pengguna 175,000 orang.

“Kita khuatir, jika pengguna tidak mengoptimumkan penggunaan air harian mereka daripada sekarang, kita akan menghadapi masalah air kemudian hari,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meluangkan masa melawat Empangan Air Itam, Georgetown.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa.

AMARAN cuaca panas dan kering di Empangan Air Itam mempunyai air mentah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air di bandar Air Itam, Lembah Paya Terubong dan kawasan sekitarnya selama 48 hari lagi. Tinjauan menunjukkan kapasiti kadar simpanan air mentah di empangan Teluk Bahang, 71.1, Air Itam, 50.3 dan Mengkuang 47.0. FOTO Mikail Ong

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, senario bekalan air di kawasan lain di Pulau Pinang adalah pada tahap normal dan memuaskan.

Bagaimanapun, katanya, paras air Sungai Muda kini turun dibawah paras amaran, dengan yang terkini adalah 1.82 meter.

“PBAPP bimbang dengan paras rendah Sungai Muda kerana ia adalah sumber air mentah utama Pulau Pinang.

“Kami akan terus berjaga-jaga kerana PBAPP mengabstrak air dari sungai ini di hilir 14 loji rawatan air Kedah dan empat muka sauk pengairan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 1:15 PM