Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU Perodua Myvi bertindak melawan arus beberapa kilometer berhampiran Dataran Maybank, Bangsar, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), hari ini.

Kejadian yang berlaku 4.30 pagi tadi itu berjaya dirakam oleh pembonceng motosikal yang berada di laluan bertentangan.

Video berdurasi tiga minit 50 saat itu menunjukkan kereta terbabit dipandu di lorong kanan laluan bertentangan di lokasi terbabit.

Penunggang motosikal yang menyaksikan kejadian itu kemudian cuba menghentikan Perodua Myvi, namun individu terbabit enggan berhenti dan terus memandu sehingga beberapa kilometer di lebuhraya berkenaan.

Malah, di penghujung video berkenaan, kereta itu yang menghampiri Plaza Tol Pantai Dalam menghala ke Bangsar masih tidak memberhentikan kenderaannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu,” katanya.

RAKAMAN video ‘dash cam’ yang menunjukkan kereta Perodua Myvi dipandu melawan arus di Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Tular

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 2:49 PM