ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan di kawasan padang yang ditumbuhi bunga lalang.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan di kawasan padang yang ditumbuhi bunga lalang.
Nor Farhani Che Ad


SIAPA sangka kawasan tepi jalan tidak jauh dari pekan Kuala Ketil yang sebelum ini dipenuhi belukar bertukar menjadi pemandangan indah apabila dipenuhi tumbuhan bunga lalang.

Bukan saja menjadi tumpuan pengunjung malah ada pasangan pengantin yang menjadikannya sebagai lokasi pengambaran.

Pemandangan indah itu mula menyerlah selepas kawasan berkenaan terbakar pada Februari lalu.

Bagi pengunjung dari Kuala Ketil, Mohd Shamsul Ismail, 41, dia tidak menyangka kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai sejak seminggu lalu kerana baginya tumbuhan itu biasa saja.

“Awalnya saya hairan melihat orang ramai memenuhi kawasan ini. Diikutkan, bunga lalang tumbuhan biasa yang dapat dilihat di tempat lain.

“Namun, apabila saya berkunjung dan mendekati sendiri kawasan ini, ternyata memang cantik dan berbeza daripada bunga lalang biasa yang saya lihat,” katanya.

PELBAGAI aksi orang ramai yang berkunjung ke lokasi bunga lalang.
PELBAGAI aksi orang ramai yang berkunjung ke lokasi bunga lalang.

Nor Shahidatul Hayati Mohd Adam, 22, dari Baling berkata, dia tidak melepaskan peluang berkunjung ke kawasan yang berdekatan dengannya itu selepas ia tular di media sosial.

“Saya tidak berkesempatan berkunjung ke jerami gulung, rumput karpet atau melihat pokok bunga tekoma memandangkan lokasi itu jauh dari tempat tinggal saya.

“Apabila tahu mengenai bunga lalang ini, saya tidak lepas peluang datang bersama kawan-kawan dan bergambar di sini,” katanya.

LOKASI bunga lalang turut menjadi pilihan jurugambar bagi sesi penggambaran dan fotografi perkahwinan.
LOKASI bunga lalang turut menjadi pilihan jurugambar bagi sesi penggambaran dan fotografi perkahwinan.

Sementara itu bagi jurugambar dari Yan, Omar Sharib, 33, pemandangan itu memberi peluang kepada jurugambar perkahwinan mendapatkan lokasi menarik untuk sesi fotografi.

“Saya mengetahui lokasi ini ketika dalam perjalanan ke rumah pelanggan di Kupang, Baling.

“Bunga lalang yang berwarna putih kekuningan memberi kesan berbeza pada gambar, sekali gus memberikan hasil gambar lebih cantik dan sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 7:01 AM