GAMBAR hiasan
Suhaila Shahrul Annuar


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima kira-kira 10 laporan berkaitan kes penipuan siber setiap bulan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, mangsa penipuan terdiri daripada pelbagai kategori dan ia termasuk penjawat awam serta suri rumah.

“Majoriti kes yang diterima membabitkan mangsa wanita dan kerugian yang dicatatkan mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

“Ia membabitkan pelbagai jenis penipuan siber termasuk penipuan telekomunikasi seperti Macau Scam, ‘Love Scam’, pinjaman tidak wujud dan pembelian dalam talian.

“Ada beberapa tangkapan sudah dibuat dan ada kes berjaya diselesaikan serta masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Memperingati Hari Polis ke-212 peringkat IPD Putrajaya, hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya jika menerima sebarang panggilan telefon sama ada yang mengaku dari bank, mahkamah atau mana-mana pihak berkuasa.

“Jika mereka mendakwa dari bank dan anda rasa ragu-ragu jangan teruskan dengan sebarang transaksi atau pengesahan maklumat. Hubungi sendiri bank anda untuk pengesahan kerana banyak kes kita terima, bila sudah buat transaksi wang dalam jumlah yang banyak, baru sedar sebenarnya ditipu,” katanya.

Dalam pada itu, Rosly berkata, indeks jenayah di Putrajaya masih terkawal bagaimanapun berdasarkan pemerhatian polis jenayah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, ia akan meningkat menjelang bulan Ramadan dan musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“Selepas tempoh itu biasanya akan ada penurunan. Jadi kita sudah mula tingkatkan rondaan dan operasi bersepadu setiap minggu yang memfokuskan kepada pengawalan dan pencegahan jenayah.

“Jenayah yang berlaku di sini biasanya berkaitan kes curi, pecah rumah dan curi kenderaan. Pelakunya biasanya adalah daripada luar Putrajaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 11:10 AM