X
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Faliq Lajim


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menolak sebarang usaha untuk menyekat kebebasan terutama secara kekerasan seperti satu insiden yang berlaku di sebuah universiti di ibu negara, baru-baru ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pihaknya secara tegas mengecam kejadian sekumpulan penuntut Universiti Malaya (UM) yang dikasari ketika menzahirkan pandangan mereka secara aman itu

“Kekerasan bukan saja terkeluar daripada norma masyarakat demokrasi dan nilai masyarakat Melayu Islam, malah ia bertentangan dengan perundangan negara.

“Bagi UiTM, keganasan bukan cara penyelesaian terhadap perbezaan pendapat atau ideologi dan tidak mempunyai tempat di mana-mana kampus universiti ini.

“Kebebasan warga akademik dan pelajar untuk berdebat secara intelektual mengenai isu kepentingan umum adalah proses pendidikan selagi tidak melanggar undang-undang.

UiTM tidak menyokong penggunaan kekerasan sebagai jalan penyelesaian dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya insiden seumpama itu tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Kata beliau, UiTM mendokong penuh hasrat dan usaha kerajaan dalam memberi lebih ruang kebebasan kepada penuntut untuk bersuara berpandukan kepada perundangan negara.

“Jika dilaksanakan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab, usaha itu dapat membangunkan keupayaan penuntut untuk berperanan menjadi rakyat yang bertanggungjawab dalam pembangunan negara secara amnya.

“Inisiatif kerajaan ini sewajarnya mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan golongan yang bakal menerajui negara pada masa depan dapat menimba pengalaman seawal mungkin,” katanya.

Kata Mohd Azraai, UiTM yakin aspirasi pendidikan tinggi ke arah melahirkan golongan intelek yang lebih matang dan terbuka selain memperjuangkan keadilan serta mempertahankan hak mereka akan dapat dicapai.

Media sebelum ini melaporkan berlaku kejadian tolak menolak antara mahasiswa UM dan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, Najib sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran berdekatan hentian bas berkenaan.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan memberi peringatan kepada pengurusan universiti supaya sentiasa mendukung pendirian kebebasan mahasiswa selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan peraturan-peraturan universiti.

Berita berkaitan

Percakapan 10 saksi dirakam

Program Najib bertukar kecoh'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 2:02 PM