KEMALANGAN membabitkan dua lori dan sebuah treler di Slim River. Foto Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA maut dalam kemalangan membabitkan dua lori tangki membawa muatan getah dengan sebuah treler di Kilometer 379.8, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Slim River, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, kedua-dua pemandu lori tangki itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.18 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, dua pemandu lori tangki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Tiada mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan kenderaan berat itu.

“Dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh ambulans,” katanya.

Katanya, operasi kemudiannya ditamatkan 8.24 malam selepas memastikan tiada lagi mangsa terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 10:53 PM