GAMBAR hiasan
Garret Dawum


LELAKI maut apabila motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan tiga kereta di Jalan Bayor Bukit, di Kuching, semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa Law Moi Mui, 56, yang menunggang motosikal Demak Evo Z dipercayai bergesel dengan kereta Perodua Bezza, sebelum memasuki arah bertentangan dan berlanggar dengan kereta Toyota Altis.

Akibat perlanggaran itu, mangsa bersama motosikalnya tercampak ke belakang dan berlanggar dengan sebuah lagi kereta iaitu Perodua Myvi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai bermula apabila motosikal mangsa bergesel dengan sebuah kereta.

“Kedua-dua kenderaan dari arah sama iaitu lampu isyarat Jalan Urat Mata menghala ke Lorong Bayor Bukit 8.

“Pergeselan itu menyebabkan mangsa memasuki arah bertentangan lalu berlanggar dengan sebuah kereta sebelum tercampak dan berlanggar dengan satu lagi kereta dari arah sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 3.10 petang.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:10 AM