MODEL kereta terbang, Vector di LIMA'19 hingga 30 Mac. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
BERNAMA

SEKIRANYA anda berminat untuk melihat bagaimana bentuk sistem mobiliti udara, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) adalah lokasi terbaik untuk anda.

Walaupun ia hanyalah sekadar model, orang ramai dapat idea yang jelas mengenai rupa fizikal kenderaan yang boleh diterbangkan, satu hari nanti.

Dikenali sebagai Vector, penampilan sulung kenderaan itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) mencuri tumpuan edisi kali ini apabila ramai pengunjung tertarik untuk melihatnya.

Kebanyakan pengunjung menyangka Vector adalah kereta terbang yang hangat diperkatakan, tetapi ia bukanlah seperti yang mereka fikirkan.

Pengarah Kanan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan Aerodyne Group, Imtyaz Mohd Azzat menafikan idea bahawa syarikat itu sedang membangunkan kereta terbang iaitu Vector, yang mana lebih tepat, direka untuk menjadi sistem pengangkutan udara dari satu destinasi ke destinasi lain.

Imtyaz menjelaskan bahawa Vector adalah kenderaan berkonsep drone yang direka untuk membawa penumpang, penghantaran kargo dan tujuan pengawasan.

“Vector dikuasakan oleh empat motor dan bateri lithium-ion yang membolehkan kenderaan itu terbang.

“Kenderaan ini juga boleh membawa bebanan dianggarkan 150 hingga 200 kilogram dan terbang pada ketinggian kira-kira 50 meter dengan kelajuan 60 kilometer sejam dan 30 ke 90 minit masa penerbangan,” katanya kepada Bernama di luar LIMA’19, hari ini.

Ditanya bila kenderaan itu dijangka dapat terbang membelah awan, Imtyaz berkata, prototaip Vector dijangka siap untuk terbang seawal Jun tahun ini.

Beliau berkata, syarikatnya yang berusia empat tahun, dengan pengalaman dalam teknologi drone, juga belum menentukan harga Vector sekiranya kenderaan itu bersedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi.

Mengenai sokongan kerajaan, beliau berkata, bersyukur kerana Kementerian Pembangunan Usahawan menyokong dan sangat terbuka dengan membantu syarikat membangunkan ekosistem yang menjadikan idea itu berjaya.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga gembira dengan idea ini apabila beliau melawat gerai pempamer kami,” katanya.

Edisi ke-15 LIMA’19 menyaksikan penyertaan 406 syarikat berkaitan pertahanan, 200 daripadanya adalah syarikat antarabangsa dari 32 negara.

Ia dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 5:21 PM