NUR Aini menjelaskan tidak akan memaafkan pembunuh adiknya. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KELUARGA kepada gadis yang ditemui mati di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, berhampiran Gua Kerbau, Jitra, Ahad lalu, tidak akan memaafkan pembunuh remaja itu.

Mangsa, Ainaa Dhabitah Sham, 18, dipercayai dibunuh di kawasan sungai berkenaan sebelum mayatnya ditemui apabila tersangkut pada mata kail seorang pemancing di situ.

Kakak Ainaa Dhabitah, Nur Aini Sham, 29, berkata, pembunuhan adiknya itu disifatkan terlalu kejam dan dia berharap pelakunya dikenakan hukuman yang setimpal.

Katanya, keluarganya reda dengan pemergian Ainaa Dhabitah yang turut mesra dipanggil Kelik, namun untuk memaafkan individu yang bertanggungjawab atas kematiannya, itu jauh sekali bagi mereka.

“Arwah seorang yang periang, malah untuk bermusuhan dengan orang juga susah.

“Bekas guru sekolahnya yang datang melawat pagi tadi juga tidak menyangka dia pergi dalam keadaan sedemikian.

“Kami sekeluarga berharap, biarlah keadilan dapat diberi kepada Kelik jika benar dia dibunuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kangar, petang hari ini.

Menceritakan semula sebelum kejadian itu berlaku, Nur Aini berkata, arwah ada meminta izin daripada ibu dan bapanya untuk keluar menemui seorang rakan, pada 7 malam Sabtu lalu.

“Kelik beritahu kami, dia nak jumpa kawan dan berjanji akan pulang sebelum 10 malam hari yang sama.

“Kami benarkan dia keluar kerana tahu dia seorang yang menepati janji dan tidak pernah ingkar janji kepada emak dan ayah,” katanya.

Bagaimanapun, adik bongsunya itu tidak pulang sehingga keesokannya hingga memaksa mereka sekeluarga keluar mencari di rumah saudara terdekat dan kenalan rapat arwah.

Nur Aini berkata, rata-rata mereka yang ditemui ketika mencari adiknya itu tidak mengetahui di mana remaja itu berada.

“Hanya seorang sepupu memberitahu, arwah ada memaklumkannya untuk keluar bertemu dengan rakan lelaki yang menetap di Kodiang, Kedah,” katanya.

Menurutnya, sejak hari itu, adiknya tidak pulang dan arwah gagal dihubungi sehinggalah media melaporkan menemui mayat remaja berkenaan.

“Kami berharap biarlah siasatan ke atas arwah dilaksanakan seadilnya dan orang awam tidak menimbulkan spekulasi yang boleh memburukkan maruah keluarga kami,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ainaa Dhabitah yang dipercayai dibunuh ditemui pemancing di Sungai Sentap, 11.51 malam Ahad lalu.

Mayat mangsa ditemui pemancing apabila mata kailnya tersangkut pada pakaian mangsa.

Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Lelaki itu mendakwa dia dan Ainaa Dhabitah ada bertengkar sebelum mereka berdua terjatuh dalam sungai.

Remaja lelaki berkenaan dikatakan berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa dipercayai lemas.

Berita berkaitan

Gadis ditemui lemas

mayat-gadis-tersangkut-pada-mata-kail-pemancing

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 8:08 PM