DADAH yang dirampas polis selepas menyerbu sebuah rumah di Felda Pasoh Tiga. FOTO ihsan polis
Abnor Hamizam Abd Manap


MENYOROK di belakang pintu bilik bagi mengelak diberkas polis.

Bagaimanapun, tindakan tokan dadah berusia 46 tahun itu tidak berhasil apabila dia ditahan anggota polis yang menjalankan serbuan di rumahnya di di Felda Pasoh Tiga di Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kegiatan lelaki itu menjalankan serbuan pada jam 4.30 petang.

Katanya, suspek yang pada mulanya berada di belakang rumah bertindak masuk ke dalam bilik sebaik menyedari kehadiran polis.

“Anggota polis yang memperkenalkan diri kemudian memanggil suspek beberapa kali namun tidak diendahkan. Polis kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah dan bilik tempat suspek bersembunyi.

“Suspek dilihat berdiri di belakang pintu bilik itu dan memberitahu tidak melakukan kesalahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan di bilik itu menjumpai tiga peket plastik berisi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 17.1 gram.

“Polis kemudian memeriksa stor dan belakang rumah sebelum menemui dua motosikal masing-masing Yamaha LC dan Yamaha Lagenda 115 yang disyaki dicuri,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 2:14 PM