AHMAD Hadi (kanan) menunjukkan rumahnya serta rumah pusaka arwah ibunya di Jalan Haji Hassan, Kampung Sungai Apong, Sabak Bernam, yang terbakar awal pagi ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


“SAYA tidak dapat menahan sebak apabila rumah pusaka arwah ibu dan rumah saya yang terletak bersebelahan musnah dalam kebakaran,” kata Ahmad Hadi Ikhsan, 61, dari Jalan Haji Hassan, Kampung Sungai Apong, Sabak Bernam, yang musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, dua rumah dua tingkat yang terletak bersebelahan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, namun tiada kemalangan jiwa.

Ahmad Hadi berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Noor Khayati Fatur Rahman, 57, serta tiga lagi ahli keluarga tidur di tingkat bawah manakala anak angkatnya, Siti Mariam Khairul Anwar, 22, tidur di tingkat atas.

“Saya kemudian dikejutkan dengan jeritan anak angkat mengatakan ada api di rumah tamu di tingkat atas. Tanpa berlengah, saya bersama ahli keluarga lain bergegas keluar dan meminta bantuan jiran berhampiran.

“Dalam keadaan kelam-kabut, saya tidak sempat menyelamatkan barangan penting seperti dokumen peribadi, namun sempat membawa keluar beg sandang yang hanya mengandungi kad temujanji klinik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Peniaga kedai makan itu berkata, rumah pusaka dinding kayu berusia 80 tahun itu adalah satu-satunya peninggalan arwah ibunya, Siti Fatimah Kosnon yang meninggal dunia lima tahun lalu.

“Saya terkilan kerana gagal menyelamatkan rumah yang menjadi tanda kenangan buat saya dan ahli keluarga lain.

“Masakan tidak, setiap kali cuti perayaan, rumah itulah menjadi tempat berkumpul seluruh ahli keluarga. Namun, ia hanya tinggal kenangan,” katanya yang mendakwa kerugian hampir RM300,000.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur tiada sesiapa cedera dalam kebakaran itu dan memaklumkan akan tinggal sementara di rumah saudara terdekat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, sepasukan 18 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 3.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 4:19 PM