MOHD Ashri dan Siti Murni disahkan maut di tempat kejadian. FOTO Ihsan APM

“KAMI reda dengan apa yang berlaku, cuma tidak menyangka hati ibu kuat berdebar dan mata berkedip bagaikan tanda bakal menerima berita sedih,” kata Nurul Syafiqah, 23.

Nurul Syafiqah adalah anak sulung kepada Mohd Ashri Othman, 50, seorang daripada dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang maut dalam kemalangan di FELDA Kahang Timur, 3.40 petang, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, Mohd Ashri memandu ambulans APM dalam perjalanan pulang ke pejabat di bandar Kluang, sebelum hilang kawalan dan lalu terbabas dan terbalik.

Selain Mohd Ashri, Siti Murni Amat Khalid, 34, yang duduk di belakang ambulans itu turut maut di tempat kejadian, manakala dua rakan mereka yang lain cedera ringan.

Nurul Syafiqah berkata, kali terakhir bertemu arwah bapanya kira-kira 7 pagi Khamis lalu, sebelum mereka bergerak ke tempat kerja masing-masing.

Katanya, ketika pulang ke rumah untuk makan tengah hari, ibunya, Norazilah Ahmad, 46, ada menyatakan hatinya berdebar-debar, selain mata sering berkedip seolah-olah akan mendapat berita sedih.

“Kami tidak menyangka apa yang ibu sangkakan benar-benar berlaku, walaupun pada mulanya saya tidak mahu percaya dengan telahan ibu itu.

“Ini kerana, sepanjang dua minggu tinggal di rumah kerana cuti semester, arwah bapa sentiasa ceria seperti biasa, terutama ketika bersama tiga anaknya,” katanya.

Menurutnya, keluarga reda dengan kejadian itu dan akan merindui bapa yang bukan saja bertanggungjawab dan sering mengutamakan keluarga, malah sanggup berkorban untuk membantu orang ramai.

Jenazah Mohd Ashri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan di Kluang, kira-kira 10 pagi hari ini, manakala jenazah Siti Murni selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tenggara sebelum solat Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian berlaku ketika semua anggota APM itu dalam perjalanan pulang dari Hutan Lipur Gunung Belumut sebaik selesai bertugas pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor.

“Siasatan mendapati apabila tiba di tempat kejadian ambulans dipandu Mohd Ashri hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar satu papan tanda menyebabkan kenderaan itu terbalik dan berpusing.

“Akibatnya Mohd Ashri yang duduk di bahagian pemandu dan Siti Murni Amat di bahagian penumpang belakang cedera parah di muka dan badan sebelum disahkan maut di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Abduh berkata, dua rakan setugas mereka, Mohd Faizal Jalil, 30, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dan Nurul Hajira Narizan, 28, di bahagian belakang ambulans cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 8:47 PM