HASRON Nazri ketika memberi penerangan operasi kepada Dr Lee (dua kiri) di Dewan Orang Ramai Kampung Pintu Padang. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


SELEPAS seminggu tanpa petunjuk, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail, Sabtu lalu dihentikan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, keputusan diambil selepas pencarian gagal menemui bukti baharu, melainkan botol air yang kemudian disahkan bukan milik mangsa.

Bagaimanapun, katanya, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) akan tetap diaktifkan sekiranya pasukan SAR memperoleh petunjuk baharu.

“Jabatan Penerangan Perak melalui Pejabat Penerangan Daerah Kampar akan membuat hebahan maklumat kehilangan mangsa dan mana-mana badan sukarela atau orang perseorangan yang berminat meneruskan carian, dibenarkan.

“Namun pencarian perlu dimaklumkan kepada Balai Polis Gopeng terlebih dahulu dan perlu nyatakan masa mula dan masa dijangka berakhir serta ahli kumpulan yang terbabit, demi keselamatan.

“Walaupun SAR tutup 1 tengah hari, kita akan terus jalankan rondaan berkala di kawasan terbabit,” katanya pada sidang media di PKTK di Dewan Orang Ramai Kampung Pintu Padang, Gopeng, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Pegawai Daerah Kampar, Khairul Anuar Ramli dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Rohana Mustafa.

Hasron Nazri berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di talian 05-4650020.

Sepanjang operasi, 70 kumpulan pencari daripada pelbagai kelompok digerakkan membabitkan kawasan pencarian seluas 35 kilometer (km) di 16 lokasi darat sehingga ke Plaza Tol Gopeng.

“Kawasan pencarian juga membabitkan laluan sungai sepanjang 30 km dari Kuala Razila ke Sungai Kinta selain pemeriksaan yang terhadap 13 resort, penginapan rekreasi dan hotel bajet sekitar pekan Gopeng,” katanya.

Katanya, semakan juga sudah dibuat di Hospital Kampar; Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Hospital KPJ dan Hospital Pantai di Ipoh.

SAR berlangsung tujuh hari disertai 700 ke 800 pasukan penyelamat pelbagai jabatan dan agensi selain orang awam.

Berita berkaitan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Masih tiada petunjuk

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 2:40 PM