KERJA pembersihan sedang giat dilakukan dan mengambil masa kerana banyak pokok. FOTO Ihsan Mohamad Bismi.
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA daripada lapan penghuni Pondok Penyayang Raudhah di Batu 11, Gombak yang cedera akibat pokok tumbang menghempap pusat jagaan asnaf itu sudah dibenarkan keluar hospital, hari ini.

Pemilik pusat, Mohamad Bismi Adira Mokhtaruddin, 39, berkata, lima lagi penghuni masih dirawat di Hospital Selayang, namun sudah berpindah ke wad biasa.

“Alhamdulillah, tiga daripada mereka sudah dibenarkan pulang, hari ini dan lima lagi penghuni menunjukkan perkembangan positif.

“Mereka kini dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

LALUAN keluar masuk yang berisiko alami pokok tumbang turut dibersihkan. FOTO Ihsan Mohamad Bismi.

Mohamad Bismi berkata, kerja-kerja pengalihan pokok tumbang di kawasan itu juga sedang giat dijalankan dan mengambil masa untuk diselesaikan berikutan jumlahnya yang banyak.

Beliau juga bersyukur dan berterima kasih atas bantuan diterima daripada kerajaan negeri dan pihak yang prihatin.

Kelmarin, lapan penghuni pusat itu termasuk lima kanak-kanak cedera apabila pusat jagaan itu dihempap pokok tumbang akibat ribu, kira-kira 5 petang.

Ketika kejadian, mereka dikatakan berada di hadapan premis selepas selesai makan.

Difahamkan, pusat itu dibiayai Pusat zakat Selangor, mempunyai lapan kediaman yang diduduki 27 penghuni dewasa dan 19 penghuni lagi berusia antara setahun sehingga 17 tahun.

Berita berkaitan

8 asnaf cedera pusat jagaan dihempap pokok [METROTV]

Keadaan kelam-kabut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 4:54 PM