Mohammad Ashraf Hassan. FOTO NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu masih dijalankan dalam skala kecil walaupun Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup bermula jam 1 tengah hari semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pemberhentian dibuat selepas pasukan SAR berpuas hati dengan usaha pencarian dijalankan selama tujuh hari di semua lokasi itu.

"Kita sudah merujuk kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan kita berpuas hati dengan SAR dijalankan bahawa perlu untuk 'stand down' sekejap, sementara itu polis dan orang kampung masih lagi membuat carian.

"Pemberhentian bukan bermakna kita berhenti terus, pencarian masih dijalankan oleh polis dan orang kampung tetapi dalam skala kecil," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-12 Persatuan Veteran VAT 69 Komando di Dewan Kentonmen Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT 69 Komando, Datuk Abd Rashid Harun.

Razarudin berkata, operasi SAR dan PKTK akan diaktifkan semula sekiranya pihaknya mendapat petunjuk baharu dan sehingga semalam tidak terdapat petunjuk mengenai kehilangan mangsa.

"Operasi SAR sebelum ini sudah dijalankan membabitkan lebih kurang 800 orang daripada pelbagai agensi antaranya PDRM (Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan orang kampung.

"Namun usaha itu masih menemui jalan buntu dan kita sudah mencari di semua lokasi termasuk lokasi mangsa dilaporkan hilang, tempat itu juga kita nampak mangsa tidak boleh jatuh ke bawah disebabkan trek memang cantik," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan polis membabitkan kes orang hilang itu dan penganjur yang sudah kali ketiga mengadakan program juga akan menjalankan siasatan mereka sendiri.

Berita berkaitan

Tiada petunjuk, SAR Acap dihentikan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Masih tiada petunjuk

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 2:26 PM