Dr Xavier meninjau projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi Fasa 4 di Rantau Eco Park. FOTO Saifullizan Tamadi
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


KERAJAAN Pusat menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan membuat keputusan berhubung kenaikan tarif air selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, kini kementeriannya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih mengadakan perbincangan lanjut bersama kerajaan negeri.

Menurutnya, penelitian dan kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan air terawat yang dibekalkan kelak memenuhi piawaian ditetapkan sesuai dengan kenaikan tarif.

“Kementerian juga akan memanggil syarikat pembekal air seluruh negara untuk memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna termasuk kemampuan loji rawatan air untuk memenuhi keperluan semasa.

“Tiada sebarang kenaikan tarif sejak 20 tahun lalu dan ia (kenaikan tarif) perlu dilakukan bagi memberikan bekalan air berkualiti yang berterusan kepada pengguna selain peningkatan kos,” katanya pada sidang media sempena lawatan tapak di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, Rembau hari ini.

Projek Lembangan Sungai Bersepadu Fasa Empat di LRA Sungai Linggi yang kini sedang dibangunkan dengan kos RM62.8 juta dijangka siap 2021.

Projek berkenaan adalah sebahagian projek mitigasi banjir yang dibangunkan untuk kemudahan penduduk di sepanjang Sungai Linggi daripada masalah banjir.

Dr Xavier berkata, kementerian juga akan melaksanakan program pendidikan untuk memastikan rakyat menggunakan air dengan lebih baik dan berkesan tanpa pembaziran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya bersama kerajaan Kedah sedang mengkaji untuk menggunakan air bawah tanah sebagai alternatif kepada masalah kekurangan air di negeri itu.

Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia sudah diminta melakukan kajian kawasan untuk projek air bawah tanah seperti di Merbok dan Baling.

“Apabila projek bekalan air bawah tanah ini dilaksanakan saya beri jaminan tidak akan berlaku kekurangan bekalan air lagi di Kedah.

“Beberapa negeri lain seperti Johor dan Kelantan turut berdepan masalah sama namun setakat ini masih terkawal namun perbincangan lanjut bersama kerajaan negeri akan dijalankan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 6:14 PM