RASHIDI (tengah) bersama mangsa lain menunjukkan laporan polis dan dokumen perjanjian pajakan kereta di Pusat Komersial Taman Equine, Seri Kembangan, Serdang, hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Norizuan Shamsuddin


MENAWARKAN pendapatan bulanan menerusi skim pajakan kereta kepada individu mampu membuat pinjaman bank untuk pembelian kereta baru.

Malah, pemajak yang memajak kenderaan kepada syarikat mereka tidak perlu membayar ansuran bulanan kereta dan mampu memperoleh bayaran profit bulanan daripada kenderaan dipajak itu.

Bagaimanapun, kenderaan dipajak terbabit didapati dijual oleh syarikat terbabit kepada individu lain dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran menerusi Skim Kereta Jimat (SKJ) ditawarkan syarikat berkenaan.

Itu modus operandi dilakukan syarikat yang menjalankan perniagaan pajakan kereta dan SKJ dikesan memperdayakan lebih 400 mangsa dengan anggaran kerugian hampir RM20 juta.

Kegiatan itu terbongkar apabila hampir 10 mangsa membabitkan pemajak dan pembeli kereta tampil bagi menuntut ganti rugi di hadapan syarikat berkenaan yang beroperasi di Pusat Komersial Equine, Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan didapati sudah mengosongkan premis perniagaan mereka.

Wakil mangsa, Rashidi Johan, 64, berkata, dia bersama keluarganya terpaksa menanggung kerugian lebih RM300,000 selepas memajak 16 kereta kepada syarikat terbabit.

Pesara guru terbabit berkata, dia berurusan dengan syarikat berkenaan susulan mengenali pemilik syarikat terbabit sejak 2016.

Katanya, pada 2017, pemilik syarikat terbabit memaklumkan dia membuka perniagaan pajakan kereta dan jualan kereta murah menerusi SKJ.

“Menerusi sistem pajakan itu, saya perlu membuat pinjaman bank untuk membeli kereta baru dan kenderaan itu kemudiannya dipajak kepada syarikat berkenaan.

“Hasil pajakan itu saya akan mendapat profit bulanan mengikut model kereta dipajak selain tidak perlu membayar ansuran bulanan pinjaman kereta berkenaan kerana syarikat terbabit akan pembayaran setiap bulan mengikut perjanjian.

“Bagaimanapun, kenderaan dipajak itu dijual oleh syarikat terbabit menerusi skim SKJ kepada pembeli berminat dengan harga 40 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata, pembeli perlu menunggu sehingga lima tahun untuk proses tukar milik kenderaan dan hasil jualan kenderaan terbabit akan digunakan syarikat berkenaan itu untuk pelaburan hartanah.

Katanya, syarikat terbabit berjanji hasil keuntungan pelaburan hartanah terbabit akan digunakan untuk membuat pembayaran penuh kepada bank bagi menyelesaikan hutang pinjaman kereta dibuat pemajak selepas lima tahun.

“Selepas yakin dengan tawaran terbabit, saya membuat pinjaman empat bank untuk membeli empat kereta membabitkan model Perodua Alza dan Axia untuk dipajak kepada syarikat terbabit pada Mei 2017.

“Saya mendapat profit bulanan mengikut model kereta dipajak. Bagi Perodua Axia, saya dapat RM184 sebulan, manakala bagi Perodua Alza pula RM400 sebulan dan bayaran itu mula diperoleh pada Julai 2017.

“Disebabkan pulangan profit diperoleh itu, isteri dan anak saya turut membuat pajakan kepada syarikat itu.

“Jumlah keseluruhan kereta dipajak oleh keluarga saya adalah 16 kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, bayaran terbabit hanya dibayar untuk 13 bulan saja sehingga Ogos tahun lalu dan selepas itu bayaran profit terbabit mula bermasalah.

Katanya, bayaran ansuran kenderaan kepada pihak bank mula bermasalah sehingga ada antara kereta ditarik oleh bank.

“Susulan itu, saya bersama keluarga membuat laporan berhubung penipuan dilakukan syarikat terbabit di Balai Polis Bandar Baru Klang, Selangor, pada 17 Mac lalu.

“Difahamkan terdapat lebih 400 pemajak dan pembeli kereta daripada syarikat terbabit turut menjadi mangsa selepas berurusan dengan syarikat terbabit.

“Saya turut berhubung dengan beberapa mangsa lain dengan menubuhkan satu kumpulan WhatsApp untuk bersama mengambil tindakan kepada pihak syarikat terbabit dan kami sudah melantik dua peguam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 9:43 PM