Waris mangsa kemalangan maut berkumpul di UnitForensik Hospital Jengka. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim FitriAbdul Aziz

TINGKAH laku Hashimah Ismail, 66, yang maut bersama empat ahli keluarganya di Kilometer 101, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur hari ini, kelihatan agak berlainan ketika menghadiri majlis perkahwinan cucu tirinya kelmarin.

Dia kelihatan terlalu gembira dan sering ketawa sehingga adakalanya mengeluarkan air mata.

Anak tirinya, Zaili Mohd Noor, 51, berkata, dia menyedari ibu tirinya gembira di luar kebiasaan ketika majlis perkahwinan anaknya, Mohd Iqbal Zaili, 27, di Hulu Langat, Selangor.

“Saya fikir mungkin mak terlalu gembira berjumpa dengan anak-anak serta saudara mara lain, dia sering ketawa.

“Mak memang periang dan ceria namun semalam dia kelihatan agak berlainan, rupanya itu petanda dia pergi meninggalkan kami,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka hari ini.

Kejadian 2.30 petang itu turut mengorbankan suami Hashimah, Mohd Noor Che Mat, 78, anak tirinya, Norsuraya Mohd Noor, 30, bersama suami Musa Abdullah, 31, serta anak lelaki mereka Muhammad Zulkarnain, 3.

Seorang lagi anak Norsuraya, Nur Quraitun Ain, 5, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Kejadian itu berlaku apabila Perodua Myvi yang dipandu Norsuraya dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan Proton Iswara sebelum bertembung dengan Toyota Hilux.

Difahamkan Norsuraya sedang hamil tiga bulan anak ketiganya.

Zaili berkata, kejadian berlaku ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di FELDA Jengka 6 dan mereka berkonvoi dengan menaiki dua kenderaan.

“Kami sama-sama keluar di Plaza Tol Lanchang dan menikmati makan tengah hari di pekan Lanchang sebelum saya meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Mentakab manakala mereka ke (FELDA) Jengka 6.

“Namun selepas tiba di rumah 3.30 petang saya dimaklumkan salah seorang adik saya, mereka terbabit kemalangan dan saya terus bergegas ke hospital,” katanya.

Katanya, bapanya serta adik tirinya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Jenazah Mohd Noor dan Norsuraya sekeluarga dikebumikan di tanah perkuburan FELDA Jengka 6 manakala jenazah Hashimah dikebumikan di Batu 9 Kampung Kepong, Lanchang malam ini.

Berita berkaitan

Lima maut kemalangan babitkan tiga kenderaan

[UPDATE] Nyawa diragut selepas pulang kenduri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 11:18 PM