Mohd Asrul Gulam (kanan) bersama Bukk, kambing baka yang memenangi Pertandingan Kambing Comel. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


BIASA diadakan pertandingan kucing comel namun lain pula di Terengganu apabila buat kali pertama diadakan Pertandingan Kambing Comel di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Terengganu.

Pertandingan anjuran Persatuan Penternak Kambing Baka (PPKB) dengan kerjasama JPV itu menyaksikan Bukk, kambing baka yang dibeli pemiliknya, Mohd Asrul Gulam Mohd, 33, dari Bangkok, Thailand, menjuarai pertandingan itu semalam.

Dengan berat 97 kilogram (kg) dan warna serta kekemasan bulu cantik selain aktif dan ceria melayakkan kambing jantan berusia tiga tahun itu menewaskan 100 kambing lain dari baka Janapari dan Anglo, yang menyertai pertandingan itu.

Mohd Asrul Gulam dari Kampung Surau Panjang dekat sini berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali pertama selepas mula membela kambing baka sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil.

“Bukk adalah kambing baka pertama yang saya miliki. Ia bermula apabila abang angkat yang mengetahui minat saya untuk cuba membela kambing tiga tahun lalu mencadangkan saya membela kambing baka.

“Selepas itu dengan bantuannya saya membeli kambing baka dari Bangkok dengan harga RM3,000 dan tidak sangka pula Bukk hari ini membawa tuah kepada saya,” katanya yang memperoleh hadiah wang tunai RM200, sijil dan hadiah iringan.

Mohd Asrul Gulam yang bekerja sebagai tukang kimpal berkata, dia pernah ditawarkan RM10,000 oleh individu yang berminat membeli Bukk ketika haiwan itu masih kecil namun dia menolaknya.

“Sayang hendak jual. Walaupun orang tawarkan beribu untuk membeli Bukk, saya tak bercadang menjualnya apatah lagi penjagaan Bukk sangat mudah, tidak banyak masalah serta jarang sakit,” katanya.

Menurutnya, Bukk diberi makan dua kali sehari merangkumi dedak, rumput dan daun sisip puyu dan setiap hari kos makanan kambing baka itu mencecah RM20.

Sementara itu Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya gembira kerana pertandingan kali pertama itu mendapat sambutan lebih 20 pemilik kambing baka dan merancang mengadakan pertandingan sama lebih kerap.

“Pertandingan ini membuktikan penternak bukan saja mampu menternak kambing tetapi juga berkebolehan menganjurkan pertandingan seumpamanya dan kita sedia bekerjasama untuk pertandingan sama dalam skala lebih besar selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 12:05 AM