ANTHONY Loke Siew Fook. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hairulazim Mahmud


“KERAJAAN sedang menjalankan kajian untuk menyelaraskan semua saman pihak berkuasa di jalan raya supaya tidak bercelaru,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, penyelarasan itu perlu dilakukan supaya mereka mereka mengetahui agensi mana yang menjalankan penguatkuasaan.

Katanya, kerajaan memang berhasrat untuk melaksanakan cadangan berkenaan.

“Itu satu cadangan baik dan memang kajian sedang dijalankan, kita memang menuju ke arah itu dana mahu ia dilaksanakan,” katanya semasa sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang ingin tahu sama ada kerajaan ada merancang untuk menyelaraskan saman bagi mengelakkan pengguna jalan raya disaman oleh beberapa agensi secara serentak, seterusnya berlaku pertindihan tugas.

Menjawab soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang ingin mengetahui rasional kerajaan menambah bilangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan kejayaan sistem mengurangkan kemalangan Loke berkata, tidak ada penambahan kamera berkenaan di mana-mana lokasi.

Beliau berkata, pemasangan kamera itu juga berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyumbang kepada penurunan peratusan kesalahan pemandu iaitu daripada 24 peratus kepada 13 peratus.

“Selain itu berlaku peningkatan jumlah pematuhan peraturan had laju dari 63 peratus sebelum pemasangan kepada 95 peratus selepas pemasangan kamera di lokasi terbabit,” katanya.

Berkaitan jumlah saman yang dikeluarkan berikutan pemasangan kamera berkenaan Loke berkata, jumlah notis saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dikeluarkan dari September hingga Disember 2018 ialah 84,165 saman, manakala Januari tahun ini sebanyak 22,981 saman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 2:42 PM