SYED Saddiq berucap ketika Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di UITM Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Siraj Mohd Zaini


USUL pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan pada sesi Parlimen Jun atau Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan Kabinet juga bersetuju untuk menyerahkan kepadanya untuk membentangkan usul berkenaan di Parlimen.

“Saya dan KBS (Kementerian Belia Sukan) yang akan bentangkan usul pindaan had umur mengundi ini,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.

Pada September tahun lalu, mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan cadangan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan rakyat mengundi seawal usia 18 tahun.

Sebelum 1970-an, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas.

Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas 1970-an di United Kingdom (1969/70); Eropah Barat (1970-an); Amerika Syarikat (1971); Kanada serta Jerman (1972); Australia dan Perancis (1974), diikuti India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada 1980-an serta Jepun negara yang terakhir pada 2016.

Dalam kalangan negara ASEAN pula, rakyat Indonesia dan Timor Leste ialah pengundi yang termuda, iaitu 17 tahun.

Kecuali Malaysia dan Singapura, negara lain sudah menurunkan had usia kepada 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 7:33 PM