PEKERJA logistik maut selepas diseret treler beberapa meter akibat melanggar tayar kenderaan berat itu berdekatan di sebuah depoh di Westport, di Pelabuhan Klang, semalam.

Mangsa, Ramlee Rusland, 31 yang menunggang motosikal itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akibat parah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu berlaku 12.14 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, pemandu treler berusia 45 tahun itu sedang memandu di dalam kawasan Westport dan mahu membelok ke kiri memasuki ke sebuah depoh yang terletak di situ.

“Bagaimanapun, ketika membelok, penunggang motosikal secara tiba-tiba melanggar di bahagian tayar kiri treler berkenaan. Mangsa dipercayai terjatuh dan terseret beberapa meter,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, penunggang motosikal itu kemudiannya dikejarkan HTAR, Klang untuk mendapatkan rawatan.

“Namun, penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah hospital berkenaan. Manakala, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Shamsul Amar berkata, kes kemalangan maut ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, rakaman berdurasi 28 saat tular di media sosial yang menunjukkan penunggang motosikal diseret treler yang sedang membelok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 11:26 AM
KEADAAN mangsa selepas terjatuh motosikal dan melanggar belakang tayar treler. FOTO ihsan pembaca