FOTO Hiasan.
Aizat Sharif


SEBANYAK 30 kereta klon yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah akan dilelong kepada orang ramai melalui satu majlis lelongan awam yang akan berlangsung di jabatan berkenaan, pada 28 April ini.

Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, lelongan kereta klon itu bermula 9 pagi itu adalah julung kali diadakan oleh jabatan berkenaan selepas mendapat kebenaran daripada pihak ibu pejabat selain menambah baik prosedur bagi lelongan kenderaan dari jenis berkenaan yang kebanyakannya didaftarkan di Singapura sebelum ini.

“Selain kereta klon, kita juga turut melelong 10 kereta sitaan yang sah milikannya, namun tidak dituntut oleh pemiliknya hampir setahun dan kesemua kenderaan ini sudah pun mendapat perintah lucut hak daripada mahkamah.

“Lelongan itu juga turut membabitkan dua buah motosikal yang pernah disita oleh kami dan semua kenderaan yang dilelong ini adalah dari sitaan menerusi operasi JPJ dari tahun 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ negeri di Jalan Suka Menanti, di Alor Setar, hari ini.

Katanya, permohonan tender secara terbuka untuk memiliki kenderaan ini termasuk daripada jenis klon sudah pun bermula sejak 18 Mac lalu dan akan berakhir pada 25 April nanti.

“Pembida yang berminat untuk membida kenderaan ini perlu membeli senaskah buku panduan atau katalog dari kami dengan harga RM50 yang memaparkan jenis kereta yang dilelong dalam majlis itu nanti selain perlu membawa kad pengenalan pada majlis itu nanti.

“Setakat ini, kami sudah mencetak sebanyak 200 cetakan buku ini yang memaparkan jenis kenderaan termasuk kenderaan klon yang dilelong nanti seperti Toyota Vios , Honda Odyssey, Mazda 3 serta sebuah Mini Cooper,” katanya.

Ismasuhaimi berkata, kenderaan yang dilelong ini sudah pun dibaik pulih secara minimum dari segi keadaan enjin dan orang ramai terutama pembida tidak perlu gusar untuk melihat sendiri kenderaan ini nanti.

“Harga rizab JPJ bagi kenderaan ini bermula dari RM4,000 hingga RM15,000 dimana tertakluk kepada jnis kenderaan yang akan dibida.

“Segala pertanyaan boleh hadir ke pejabat JPJ negeri Kedah atau berhubung menerusi talian 04-7404888,” katanya.

Oktober tahun lalu, Harian Metro pernah menyiarkan laporan khas berkenaan kemasukan kereta klon dari negara Singapura, Brunei dan Thailand yang dikesan oleh JPJ.

Malah, kenderaan berkenaan dibawa ke Semenanjung sebelum dihantar ke Sabah menggunakan pengangkutan laut.

Malah, ia turut disertakan dengan cukai jalan palsu yang boleh diperbaharui pada harga RM750 bagi tempoh setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 1:49 PM