Anggota Bomba memadam kebakaran Taman Negara Similajau. FOTO Erika George.
Erika George


SEBANYAK 60,000 liter air digunakan bagi mengawal kebakaran membabitkan keluasan 2.42 hektar di Taman Negara Similajau, Bintulu.

Setakat 2.15 petang, semalam, kebakaran membabitkan 90 peratus kawasan terjejas berjaya dikawal menggunakan teknik semburan dari udara.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya khuatir api kembali merebak berikutan faktor cuaca panas dan kering.

“Kebakaran membabitkan kawasan tanah gambut, meskipun di permukaan api sudah padam tapi masih ada bara di bahagian bawah.

“Seramai 32 pegawai dan anggota bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Tatau serta Samalaju, dikerah ke kawasan kejadian sejak Jumaat lalu,” katanya.

Operasi memadamkan kebakaran memasuki hari keenam hari ini dan bomba terpaksa mengepam air sejauh 457 meter ke kawasan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 3:37 PM