PENGUAT KUASA Halal JAIS memeriksa ayam yang diragui status penyembelihannya ketika operasi bersepadu awal pagi tadi. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini


AYAM yang disembelih akan dilemaskan di dalam bekas berisi air bagi mempercepatkan haiwan itu mati sebelum proses lanjut dilakukan.

Itu modus operandi sebuah pusat penyembelihan ayam beroperasi secara haram di Jalan Kapar, Klang yang turut didapati kotor, busuk dan menjijikkan.

Perkara itu dikesan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pelbagai agensi lain yang menjalankan serbuan ke atas premis berkenaan, kira-kira 1 pagi tadi.

Tinjauan Harian Metro mendapati lantai premis itu dipenuhi sisa ayam, bulu, kulit, perut dan darah yang bercampur air.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, serbuan selama hampir lima jam itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai pusat penyembelihan ayam itu yang diragui status sembelihannya.

“Pemeriksaan mendapati premis itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah dan cara penyembelihan turut meragukan serta tidak mematuhi hukum syarak.

“Kita mengeluarkan arahan serta merta supaya pemilik premis melupuskan ayam yang diragui status sembelihannya.

“Selain itu, tindakan menyita premis berkenaan dilakukan mengikut Undang-undang Kecil 3(1) Pelesenan Establisymen Makanan MPK 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Difahamkan, premis yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu itu menyewa di atas tanah berkenaan dan mampu memproses 1,000 ekor ayam sehari untuk dipasarkan di pasar besar di negeri ini.

Haris berkata, ketika serbuan, enam lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di premis berkenaan sedang leka menjalankan proses penyembelihan tidak sempat meloloskan diri.

“Semua PATI berusia lingkungan 30-an itu ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai premis yang diragui penyembelihan secara halal boleh melaporkan kepada JAIS di talian 03-55143760/3486.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 4:53 PM