NUR Quraitun Ain dirawat di HoSHAS di Temerloh. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


ANAK sulung kepada suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 101, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Kampung Semat, Batu 14, Maran, Ahad lalu, sukar tidur lena dan kerap merengek memanggil ibunya.

Keadaan Nur Quraitun Ain Musa, 5, stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh berikutan patah paha kiri.

Ibu saudaranya, Siti Hajar Abdullah, 33, berkata, sejak anak saudaranya itu sedar, Nur Quraitun Ain yang kini yatim piatu kerap merengek dan memanggil ibunya yang terkorban dalam tragedi itu.

“Setiap malam dia akan meracau-racau memanggil nama ibunya mungkin kerana terkejut dengan kemalangan yang berlaku. Kami sekeluarga amat sedih dengan keadaannya kini yang sentiasa mencari-cari ibunya.

“Saya sudah cakap dekat dia yang ibu, abah dan adiknya sudah tiada, Nur Quraitun Ain tidak menangis... dia hanya diam, cuma matanya saja yang merah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, ibu Nur Quraitun Ain, Norsuraya Mohd Noor, 30, serta bapanya, Musa Abdullah, 31, maut di tempat kejadian akibat kemalangan itu.

Kejadian itu turut menyebabkan adik lelakinya, Muhammad Zulkarnain, 3, serta datuk, Mohd Noor Che Mat, 78, dan neneknya, Hashimah Ismail, 66, maut.

Semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 6 selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Hulu Langat, Selangor.

Kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan Proton Iswara dan bertembung dengan Toyota Hilux.

Siti Hajar berkata, ketika kejadian anak saudaranya itu berada dalam keadaan sedar dan dia mampu menceritakan segala yang berlaku sewaktu kemalangan itu berlaku.

“Dia kata masa tu ibunya memandu manakala abah dan adiknya duduk di kerusi hadapan. Atok dan wan pula duduk di belakang manakala dia berada di tengah.

“Dia kata masa itu kereta berpusing, saya tidak mampu bayangkan apa yang dilihatnya ketika itu,” katanya.

Katanya, anak saudaranya perlu menjalani pembedahan hari ini bagi memasang simen dari bahagian badan ke kaki.

“Sejak dia sedar dan stabil, dia kelihatan trauma serta fobia apabila didekati orang lain atau ditinggal keseorangan.

“Malah jika orang ramai mengerumuninya, dia akan panggil ibunya, kami sekeluarga berharap supaya Nur Quraitun Ain kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan kepada Nur Quraitun Ain boleh menghubungi Siti Hajar di talian 0112-6275100

Berita berkaitan

Ibu serah kain batik [METROTV]

[UPDATE] 'Mak gembira luar biasa'

[UPDATE] Nyawa diragut selepas pulang kenduri

Lima maut kemalangan babitkan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:11 PM