KISAH duka yang dipendam remaja lelaki selama dua tahun menjadi mangsa liwat seorang guru agama terbongkar apabila dia membuat laporan polis, Isnin lalu.

Perbuatan jijik lelaki yang juga ustaz di sebuah sekolah tahfiz di Kampung Baru Sungai Buloh, Jeram, dekat sini, pernah diceritakan mangsa kepada ibunya namun tidak diendahkan.

Difahamkan, wanita itu tidak mempedulikan aduan dibuat mangsa berikutan menjalinkan hubungan dengan lelaki terbabit yang kini bergelar suaminya.

Sumber berkata, remaja terbabit yang kini berusia 18 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Rawang.

Katanya, ketika kejadian mangsa berusia 16 tahun beberapa kali diliwat suspek sepanjang menginap di asrama disediakan sekolah tahfiz berkenaan dari Januari hingga November 2017.


ASRI

“Mangsa mula belajar di sekolah tahfiz berkenaan pada Januari 2017 dan menginap di asrama disediakan. Sepanjang berada di asrama dari Januari hingga November, mangsa beberapa kali diliwat suspek.

“Pada awal kejadian, mangsa diarahkan bermalam di bilik suspek. Secara tiba-tiba suspek mengarahkannya menanggalkan pakaian sebelum meliwat mangsa,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek juga mengarahkan mangsa melakukan seks oral terhadapnya selain turut melakukan tindakan sama terhadap remaja terbabit dan perbuatan itu berlarutan beberapa kali.

“Pada November 2017, mangsa menamatkan pengajiannya di sekolah tahfiz itu. Dia pernah mengadu kejadian kepada ibunya ketika datang melawat, namun tiada tindakan diambil memandangkan wanita itu mempunyai hubungan cinta dengan suspek.

“Mangsa membuat laporan polis Isnin lalu kerana takut selepas suspek berkahwin dengan ibunya. Dua lagi adiknya yang berusia lima dan 12 tahun kini berada di bawah jagaan ibunya.

“Difahamkan, mangsa kini tinggal bersama bapanya. Ibu bapa kandung mangsa sudah bercerai ketika kejadian pada 2017,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab, ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat mangsa.

Beliau memaklumkan kes dalam siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 6:00 AM