Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. FOTO NSTP.
Kandau Sidi
kandau@nstp.com.my


PESAWAT lebih besar dijangka dapat mendarat di Lapangan Terbang Miri selepas kerja menaik taraf laluan masuk utama di utara Sarawak itu dilaksanakan dengan peruntukkan sebanyak RM20 juta.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin berkata, tender untuk kerja menaik taraf lapangan terbang itu sudah dibuka dan projek dijangka bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Kementerian Pengangkutan sudah bersetuju supaya Malaysia Airport Berhad (MAB) melaksanakan projek menaik taraf lapangan terbang itu tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Miri, hari ini.

Lee berkata, usaha menaik taraf lapangan terbang itu dijangka mampu meningkatkan lagi kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa ke utara negeri ini.

Beliau berkata, ia juga membolehkan pendaratan lebih banyak pesawat besar yang melakukan penerbangan terus dari luar negara ke Miri.

Katanya lagi, langkah itu juga bakal meningkatkan keupayaan pengendalian penumpang di lapangan terbang berkenaan kepada tiga juta orang setahun.

“Apabila projek itu siap nanti, saya yakin ia mampu menambah lebih banyak penerbangan antarabangsa terus ke Miri.

“Miri hanya mempunyai satu penerbangan terus dari Singapura menerusi syarikat AirAsia dengan dua penerbangan setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 10:39 AM