BANGUNAN Tabung Haji di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


CADANGAN pelan penstrukturan dan pemulihan semula Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibentang kepada Kabinet esok, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri akan membincangkan secara terperinci isu-isu kedudukan kewangan TH dan perkara bersangkutan termasuk kemampuan membayar hibah.

“Berkaitan hibah, TH akan membuat pengumuman dalam masa terdekat selepas Kabinet membuat keputusan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang mahu tahu bila TH akan mengumumkan bayaran hibah kepada 9.3 juta pendepositnya bagi tahun 2018 kerana kebiasaannya ia sudah dimaklumkan setiap awal Februari, bagaimanapun sehingga kini masih tiada sekali gus menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

Menjawab soalan tambahan Noraini iaitu apa jaminan kerajaan Syarikat Tujuan Khas (SPV) akan memberikan pulangan keuntungan kepada TH kelak, Dr Mahathir berkata, perkara itu juga akan dimaklumkan selepas Kabinet bermesyuarat esok.

“Namun pada hakikatnya yang diketahui umum ada kecurian berlaku oleh pengurusan TH yang banyak dan itu sudah tentu menjejaskan kebolehan kita memberikan pulangan kepada penyumbang kepada TH,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, agensi kewangan umat Islam itu mengalami kerugian yang besar dan banyak pihak tahu TH sudah melakukan pembelian pelbagai aset dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran.

“Kerana itu Kabinet akan membincangkannya esok dan Insya-Allah saya akan memberikan maklumat sepenuhnya apa yang berlaku kepada TH selepas itu,” kata beliau lagi yang menjawab soalan tambahan daripada Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu sama ada syarikat berkaitan kerajaan itu pernah mengalami kerugian atau sebaliknya.

Polemik berkaitan TH semakin hangat apabila sehingga kini hibah yang sepatutnya diumumkan bulan lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof belum diisytiharkan kepada 9.3 juta pendepositnya.

Sidang Dewan Rakyat akan ‘panas’ setiap kali isu TH dibangkitkan oleh Mujahid termasuk isu pengurusan SPV yang dikendalikan Prokhas Sdn Bhd yang menguruskan aset dan harta yang tidak menguntungkan berjumlah RM19.9 bilion.

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas Chen Yin Peng tidak menguruskan aset dan harta TH sebaliknya ia diuruskan oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (Urusharta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 11:05 AM