ANDANSURA (dua dari kanan) melihat sampah yang dibuang di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Nangka. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


PIHAK berkuasa digesa mengambil tindakan segera dengan menutup tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Nangka, di Kuantan, kerana mengganggu keselesaan penduduk dengan bau busuk dan asap daripada aktiviti pembakaran terbuka di kawasan itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Baru, Shaharuddin Mohamed, masalah bau busuk dan asap dari tapak pelupusan sampah haram itu menjejaskan kehidupan kira-kira 4,000 penduduk dan juga pelajar sebuah sekolah berdekatan.

“Selalunya, aktiviti pembakaran sampah di tapak ini dilakukan pada waktu petang dan setiap malam kami terganggu dengan bau busuk. Jadi pihak berkaitan perlu membuat pemantauan berterusan bagi menghalang pembuangan dan pembakaran sampah di tapak itu.

“Tetapi untuk jangka masa panjang, kami harapkan tapak pelupusan sampah haram itu ditutup demi keselesaan dan kesihatan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah haram berkenaan, semalam.

Shaharuddin berkata, jika masalah itu tidak diatasi dengan tindakan lebih tegas, pelbagai masalah lain membabitkan isu alam sekitar akan berlaku.

“Pada masa yang sama, tindakan penguatkuasaan perlu diambil termasuk menahan dan mendakwa pihak yang membuang sampah di tapak pelupusan sampah haram itu sebagai pengajaran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, masalah itu timbul selepas ada pihak yang tidak bertanggungjawab melupuskan sampah secara haram di kawasan seluas kira-kira lebih 0.2 hektar itu.

“Saya difahamkan sampah yang dibuang di sini adalah sisa domestik dan buangan daripada projek pembinaan dan buangan sisa kilang. Malah ada pihak tertentu termasuk kontraktor yang menjalankan kutipan bahan buangan ini sengaja memilih tapak itu untuk menjimatkan kos berbanding dibuang tapak pelupusan sampah yang sah,” katanya.

Andansura berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini supaya kejadian seumpama itu tidak berlaku di kawasan itu.

“Kita bimbang jika masalah pembuangan sampah ini tidak ditangani dan dibiarkan terus berleluasa, kejadian itu boleh berlaku di kawasan berkenaan. Kita juga bimbang pencemaran di kawasan ini akan mengalir ke sungai yang berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 11:32 AM