LOKASI kejadian lelaki berbogel dan membaling botol ke arah rumah jiranya . FOTO IHSAN Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


SUDAHLAH mabuk, malah seorang lelaki turut mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling botol kaca ke cermin tingkap rumah jirannya sebelum bertindak menunjukkan kemaluannya di Kampung Paya Besar, di Kulim, Isnin lalu.

Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 44 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan polis di rumahnya, 7.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa yang juga suri rumah berusia 47 tahun itu terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

Menurutnya, dia yang keluar memeriksa kemudian terlihat jirannya yang mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat bising sebelum suspek bertindak membaling botol kaca ke arah rumah wanita itu.

“Suspek juga turut berbogel dan menunjukkan kemaluan menyebabkan mangsa dan keluarganya ketakutan.

“Selepas suspek beredar mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim Hi Tech untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, susulan itu polis kemudian mengesan suspek sebelum menahannya di rumah semalam bagi membantu siasatan.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 2:18 PM