JENAZAH tiga pelajar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan FELDA Lok Heng, Kota Tinggi. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini
cnews@nstp.com.my

“ADIK beriya-iya mahu membuat kek untuk sambutan ulang tahun perkahwinan ibu bapa hari ini, malangnya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan petang semalam,” kata Muhamad Marhan Bastaman, 29.

Muhamad Marhan adalah abang kepada Muhamad Noriman, 17, salah seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim FELDA Lok Heng yang maut dalam kemalangan di Simpang FELDA Lok Heng, Jalan Kota Tinggi - Bandar Penawar, 6.30 petang semalam.

Dua mangsa lain yang maut dalam kejadian itu, Daing Muhammad Afeeq Mohd Ateeq-ur Rahman, 16 dan Muhammad Syafawi Zayadi, 17.

Ketiga-tiga mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan FELDA Lok Heng, di Kota Tinggi, hari ini.

Muhamad Marhan berkata Muhamad Noriman adalah anak bongsu daripada enam beradik dan kebelakangan ini terlalu manja dengan kedua orang tuanya sehingga mahu melancong bersama mereka ke Langkawi, minggu lalu.

“Dia (Noriman) terlalu seronok mahu meluangkan masa bersama bapa dan ibu. Sifatnya yang periang dan suka menyakat adik-beradik lain membuatkan kami terhibur dengan gelagatnya.

“Saya masih ingat cenderamata yang dibelinya di Langkawi untuk kakak sulung, Noraini, 34, hilang. Dia sanggup mencari satu rumah kerana tidak mahu kakaknya merajuk dan sentiasa ingat hadiah itu.

“Sepanjang perjalanan rombongan warga FELDA Lok Heng menaiki bas ke Langkawi, dia tidak putus-putus menghantar gambar mereka bertiga. Senyumannya tidak henti setakat itu kerana dia turut memaklumkan ada kejutan untuk kedua orang tuanya apabila mereka pulang ke Johor,” katanya.

Dia ditemui selepas selesai urusan pengebumian tiga jenazah mangsa di tanah Perkuburan Islam Gugusan FELDA Lok Heng, di Kota Tinggi, hari ini.

Muhamad Marhan berkata, Noriman yang mengambil subjek elektif Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dalam bidang masakan bercadang menyediakan kek sempena ulang tahun perkahwinan orang tuanya hari ini.

“Ibu, Siti Roslina Minan, 52, ada memaklumkan terdetik hati rasa sayu kerana anak bongsunya itu berkali-kali cium dan peluk sebelum pergi ke sekolah, sejak Isnin lalu.

“Senyumannya terlalu sukar untuk dilupakan apatah lagi Noriman seorang adik yang jujur dan pemergiannya memberi kesan sangat mendalam kepada kami sekeluarga,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Semak SOP tugasan guru di luar sekolah

Selepas adik, anak pula 'pergi'

Guru cedera, 3 pelajar maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 4:54 PM