SHATIRI (tengah) berbual Nor Azawiah ketika menyampaikan Bantuan Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan. Turut hadir Mohammad Ramli (kiri). FOTO Roslin Mat Tahir
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


“DUA hari sebelum tragedi itu, Adam Miqhael (anak) bermimpi bapanya akan dilanggar kapal terbang dan sempat memberitahu arwah mengenainya.

“Namun, saya tidak sangka ia rupa-rupanya bertukar menjadi kenyataan,” kata Nor Azawiah Md Usuf, 38, isteri kepada juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang maut dalam insiden di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang, 18 Mac lalu.

Dalam kejadian jam 3.20 itu, kereta unit kejuruteraan MAHB dipandu mangsa, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, dirempuh sebuah pesawat persendirian sebelum meninggal dunia keesokan harinya.

Nor Azawiah berkata, Adam Miqhael yang juga anak ketiganya itu turut memaklumkan kepadanya mengenai mimpi berkenaan.

Namun, katanya, dia dan arwah suami memberitahu Adam Miqhael apa yang dimimpikan biasanya tidak akan berlaku.

“Selepas tragedi itu, Adam Miqhael yang memang rapat dengan bapanya terus demam dan fobia.

“Namun, selepas selesai urusan pengebumian, dia memberitahu turut bermimpi arwah hadir dalam keadaan tersenyum.

“Kini, jika dia tidak tidak boleh membuat sesuatu seperti bermain gasing dia akan cakap ‘kalau ada ayah, mesti boleh’,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyampaian Bantuan Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan di kediamannya di Seksyen U5, Shah Alam, hari ini.

Bantuan diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor sambil disaksikan Timbalan Pengarah PERKESO Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan.

Pada majlis itu, ibu kepada empat anak berkenaan menerima bantuan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 selain bantuan faedah orang tanggungan sebanyak RM2,955 setiap bulan.

Dalam pada itu, Noor Azawiah berkata, dia akan mencari kerja selepas tamat tempoh edah bagi membesarkan semua anaknya.

“Sebelum ini, saya memang bekerja sebagai kerani di syarikat guaman namun terpaksa berhenti bagi menguruskan anak.

“Mujur ada ibu (Zaimah Md Nor, 64) yang akan tinggal bersama saya nanti untuk bantu menjaga anak ketika bekerja,” katanya.

Menurutnya, dia sedang menunggu hasil siasatan penuh kejadian itu dan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan mengenainya.

Sementara itu, Mohammad Ramli berkata, Allahyarham layak menerima sumbangan itu selepas majikannya membuat caruman PERKESO bagi kakitangan.

“Kadar faedah itu akan diberikan sepanjang hidup kepada Nor Azawiah walaupun seandainya dia berkahwin lain.

“Faedah bagi anaknya akan diberikan sehingga dia berusia 21 tahun selain turut layak membuat skim pinjaman pendidikan PERKESO jika tidak mendapat mana-mana pembiayaan pendidikan daripada mana-mana institusi,” katanya.

Selain Nor Azawiah dan Adam Miqhael, Allahyarham Mohd Ruzaimi meninggalkan tiga anak lain iaitu Nur Batrisyia Insyirah, 13; Nur Marsya Irdina, 11, dan Maryam Nur Zulaiqha yang berusia setahun.

Berita berkaitan

Pihak berkuasa lapangan terbang cuai - Vincent Tan

Tiada lagi anak lelaki yang tinggal... [METROTV]

Polis siasat kematian juruteknik MAHB

[UPDATE] - Juruteknik MAHB dirempuh kapal terbang meninggal dunia

[UPDATE] Masih kritikal

Pemandu parah pesawat langgar kereta

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 4:54 PM