Bomba mengambil masa lima hari memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


TINDAKAN pihak tidak bertanggungjawab membakar sampah di tapak pelupusan sampah di Batu 10 Jalan Pantai, Port Dickson menyebabkan bomba terpaksa bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu selama lima hari.

Kebakaran yang bermula Ahad lalu gagal dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba pada hari kejadian kerana ia membabitkan kawasan kebakaran seluas 1.2 hektar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata, tempat pelupusan sampah berkenaan di atas tanah milik persendirian.

“Bomba menerima panggilan 2.11 petang Ahad lalu dan menggerakkan jentera ke lokasi untuk kerja pemadaman.

“Operasi itu turut membabitkan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Jelebu, Senawang serta Pasukan Bomba Sukarela Pantai.

“Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa lama kerana ia membabitkan sisa sampah kilang dan kawasan besar dengan keluasan 1.2 hektar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, bomba berjaya mengawal api kebakaran dan memadamkannya secara berhati-hati mengikut peringkat.

Katanya, operasi itu mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

Beliau berkata, kerja pemadaman berakhir hari ini dan operasi dihentikan 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:45 PM