RAJA Zarith Sofiah menyampaikan cek sumbangan daripada Sultan Ibrahim kepada Yahaya di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor bagi kegunaan jabatan itu susulan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, bulan lalu.

Cek sumbangan Sultan Ibrahim itu disampaikan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang berkenan berangkat ke Ibu Pejabat JBPM Johor, semalam.

Sumbangan diterima Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis mewakili jabatan berkenaan.

Dalam entri terbaharu di laman rasmi Facebook (FB) The Royal Johor menyatakan sumbangan itu bagi membolehkan kerja penentu ukuran (calibration) oleh pasukan Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Johor.

Bulan lalu, ketika negeri ini dikejutkan dengan isu pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Sultan Johor berkenan mengurniakan sumbangan peribadi antara lain bagi membolehkan JBPM Johor yang terbabit dalam operasi pembersihan sungai itu diperlengkapkan dengan kemudahan diperlukan.

Pada majlis berkenaan, Yahaya turut mempersembahkan taklimat operasi JBPM Johor mengenai insiden pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku pada 7 Mac lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Mohd Saiful Bahri Safar juga mempersembahkan taklimat kepada Permaisuri Johor mengenai operasi dan peralatan Unit HAZMAT.

Sebelum berangkat pulang, Permaisuri Johor turut meluangkan masa melawat Pusat Pembelajaran Keselamatan Kebakaran Komuniti serta Makmal Penyiasatan Kebakaran JBPM Johor di ibu pejabat jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 7:00 AM