Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P186 Sandakan, Sabah pada 11 Mei depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 27 April, manakala tarikh mengundi awal pada 7 Mei.

"Seramai 39,856 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 28 Mac lalu terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.

"Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 10 Mei,” katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Katanya, SPR melantik Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supian sebagai Pegawai Pengurus PRK Parlimen P186 Sandakan, manakala kos PRK ini dianggarkan RM3.1 juta.

Azhar berkata, SPR akan menggunakan Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sandakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Menurutnya, seramai 770 petugas dilantik mengendalikan proses PRK berkenaan dan sebanyak 21 pusat mengundi mengandungi semua 92 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

"SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi bagi PRK berkenaan," katanya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, pada 28 Mac lalu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Ditanya mengenai persediaan SPR untuk berdepan undi awal di PRK Rantau pada 9 April ini, Azhar berkata, segala persiapan berjalan lancar membabitkan seramai 118 pengundi.

Mengulas mengenai laporan salah guna kanak-kanak pada kempen PRK Rantau, Azhar berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat atau laporan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu sama ada ada kempen menggunakan kanak-kanak. Saya tidak pasti sama ada ia menjadi satu kesalahan," katanya.

Baru-baru ini, calon Pakatan Harapan, Dr S Streram menghimpunkan sekumpulan kanak-kanak dalam kempen sebelah malam yang dijalankan di Taman Orkid, Rantau.

Kanak-kanak yang hadir itu dibawa naik ke atas pentas ceramah PH sambil memegang kotak pensil warna.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengulas mengenai perkara itu menerusi akaun Facebook peribadinya.

Beliau menyifatkan kanak-kanak tidak patut digunakan untuk kempen pilihan raya malah, ia jelas tidak beretika dan melanggar undang-undang.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 12:47 PM