X
Gambar hiasan
Gambar hiasan


PUSAT jualan kereta mewah di Jalan Masai Lama, Plentong, Johor Bahru kerugian RM300,000 apabila Mercedes Benz C300 yang digunakan sebagai kereta pameran (demo car) hilang dari premis itu.

Kakitangan pusat jualan itu hanya menyedari kenderaan terbabit hilang kelmarin ketika ada bakal pembeli mahu memandu uji model kereta itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Ismail Dollah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima laporan kehilangan kereta mewah itu 2.30 petang kelmarin.

“Pengurus Jualan sebuah pusat jualan kereta mewah di Plentong berusia 50-an melaporkan kehilangan kereta Mercedes Benz C300 dari premis berkenaan.

“Dalam laporannya, lelaki itu mendakwa pada 10.30 pagi Selasa lalu, dia menyedari ‘demo car’ Mercedes Benz C300 tiada di premis itu.

“Ketika itu ada pelanggan mahu memandu uji kereta itu sebelum disedari hilang,” katanya hari ini.

Menurutnya, pengadu mencari di sekitar premis namun tidak menemuinya dan mengesyaki dicuri penjenayah.

Katanya, bertindak atas laporan itu pihaknya menjalankan siasatan dan didapati kawasan itu berpagar serta ada pengawal keselamatan.

“Siasatan awal mendapati, syarikat itu kerugian kira-kira RM300,000 akibat kehilangan kereta itu dan kejadian dipercayai berlaku antara Ahad hingga Selasa lalu.

“Berikutan itu, kami mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 7:14 PM
Digital NSTP Subscribe