Mohd Azam Shah Yaacob


PENIAGA haram warga asing di Pasar Harian Selayang di sini, dikesan menukar waktu operasi perniagaan mereka dipercayai bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Jika dahulu golongan itu berniaga di tepi jalan sekitar pasar berkenaan sejak jam 7 pagi, kini mereka memulakan perniagaan bermula jam 3 petang.

Tindakan mereka menukar waktu perniagaan itu dipercayai bagi mengelak serbuan dijalankan pihak berkuasa yang kebiasaannya diadakan pada waktu pagi.

Tinjauan Harian Metro sekitar pasar berkenaan antara jam 9 pagi hingga jam 12 tengah hari mendapati tidak sampai 10 tapak dibuka warga asing.

Namun, bermula jam 3 petang suasana di kawasan itu mula berubah apabila lebih 30 tapak di tepi jalan dibuka warga asing yang menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan kepada pelanggan.


WARGA asing mengubah taktik dengan berniaga pada waktu petang di Pasar Borong Selayang.

Sayur-sayuran dijual bermula harga serendah RM1 seikat manakala barang mentah seperti ikan pula dijual sekitar RM8 satu bekas.

Antara jenis ikan berkenaan seperti ikan selar, kembung, talapia, kerang, udang, sotong dan ketam.

Difahamkan, kebanyakan barang mentah berkenaan mampu dijual pada harga murah berikutan hampir rosak serta merupakan bekalan lama.

Seorang peniaga etnik Rohingnya, Fathor Amin, 28, mengakui kebanyakan peniaga haram terutama warga Myanmar dan Bangladesh hanya berniaga sekitar jam 3 petang kerana ingin mengelak operasi pihak berkuasa.

“Dahulu memang ramai yang berniaga waktu pagi, tetapi sekarang mereka sudah tukar berniaga pada waktu petang kerana mahu mengelak ditangkap.

“Kalau ada yang berniaga waktu pagi, semua etnik Rohingnya seperti saya,” katanya yang mengakui sudah empat tahun berniaga di situ.

Fathor berkata, sepanjang tempoh itu, dia sudah beberapa kali ditahan pihak berkuasa, namun dibebaskan berikutan memegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Peniaga warga Bangladesh, Rahman, 25, mengakui sudah dua tahun berniaga sayur-sayuran di situ.

Katanya, sepanjang dua tahun, ramai rakannya ditahan, namun dia dapat melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa. dan hanya barang-barangnya sahaja dirampas.

“Kalau ada operasi, kebiasaannya pada waktu pagi dan tengah hari. Jadi, sekarang kami berniaga pada waktu petang sahaja,” katanya.

“Tetapi kami berhati-hati juga khuatir tiba-tiba ada operasi,” katanya.

Menurut Rahman, berniaga di pasar berkenaan tidak sukar berikutan dengan modal serendah RM100, mereka boleh mendapatkan pelbagai barangan mentah dari pasar harian berdekatan yang kemudian dijual semula.

Katanya, dengan modal itu, antara barang mentah yang boleh diperoleh seperti cili, terung, timun, kacang panjang, halia, lengkuas, lobak merah, bendi, tomato, serai, bawang merah dan bawang putih.

“Modal itu kami bayar kepada pemborong yang kemudian membekalkan kami barangan yang diperlukan.

“Namun, jika ada barangan dijual itu tidak laku selama beberapa hari dan sudah mula membusuk atau rosak, kami akan memulangkan semula kepada pemborong yang akan menggantikannya kepada bekalan yang baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 8:02 AM