GAMBAR hiasan


SEORANG petani maut selepas motosikal ditunggang terbabas ketika melalui laluan selekoh menuruni bukit di Jalan Kampung Kepayang, Simunjan, semalam.

Kejadian 6.30 petang itu, menyebabkan mangsa, Paul Japok, 25, menunggang Yamaha Lagenda meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Kampung Kepayang menuju ke Simpang Kepayang gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas.

“Motosikal mangsa memasuki lorong sebelah kanan dan terbabas sendiri, dia disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Hospital Simunjan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson berkata, semakan mendapati mangsa berasal dari Kampung Batu Mumong, Gedong.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 12:11 PM