Mangsa penipuan skim pelaburan sebuah syarikat di Kuala Lumpur selepas membuat laporan polis hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


MENAWARKAN pulangan keuntungan berlandaskan Islam termasuk tawaran menunaikan umrah mengakibatkan lebih 30 individu dari Ipoh terpedaya dalam skim pelaburan sebuah syarikat yang beroperasi di Jalan Yap Kwang Seng, Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu.

Janji manis yang ditabur menerusi strategi pemasaran dalam pelbagai ceramah oleh syarikat didalangi dua lelaki itu mengakibatkan individu itu mengalami kerugian antara RM9,000 hingga RM80,000.

Antara imbuhan yang dijanjikan kepada pelabur termasuk membina pusat perubatan kepada ahli dan universiti kepada anak-anak pelabur serta mewujudkan sumber pendapatan menerusi pelbagai perniagaan.

Selain itu mereka menawarkan pembayaran hibah antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada beberapa pakej pelaburan dengan modal serendah RM350 hingga RM35,000.

Mangsa, Mior Arbaaziz Safian Ramli, 63, berkata, dia terpengaruh dengan pelbagai tawaran syarikat itu selepas dimaklumkan mengenai imbuhan yang bakal diperolehi termasuk pakej menunaikan umrah dan berlandaskan niat untuk membantu perniagaan sesama orang Islam dia menghabiskan wang pencen sebagai penjawat awam RM75,000.

“Saya bertemu dengan wakil syarikat itu di sebuah restoran dan menyerahkan wang tunai RM75,000 sebelum lelaki itu memasukkan data secara online (atas talian).

“Ketika itu, saya bersangka baik dan mahu membantu perniagaan orang Islam kerana semua ahli yang melabur adalah kalangan orang kita (Islam),” katanya ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam hari ini.

Sementara itu, suri rumah, Hazyati Harih, 43, berkata, dia terpedaya dengan tawaran itu kerana ia cara mudah untuk menjana pendapatan.

“Saya berminat (untuk melabur) kerana mereka beritahu kita tidak perlu cari orang dan keadaan itu mudah bagi saya dan saya cuma mencari orang dan ajak adik-beradik serta kawan-kawan untuk berkongsi keuntungan.

“Saya berjaya mengumpulkan wang RM70,000 dan menyerahkan kepada syarikat itu menerusi pemindahan wang kepada akaun peribadi seorang lelaki.

“Mula-mula saya sertai, mereka ada tunjukkan segala maklumat menerusi laman web syarikat tetapi sejak transaksi pengeluaran tidak boleh dikeluarkan daripada laman web itu, saya mula syak diri tertipu,” katanya.

Katanya, berikutan itu mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam hari ini bagi membolehkan polis menyiasat dua pemilik syarikat berkenaan dan membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mendapatkan keadilan.

“Kami mahu keadilan dan mahu syarikat itu pulangkan duit kami kerana ada yang terpaksa menggadaikan harta benda kerana mahu menyertai pelaburan yang menjanjikan pelbagai tawaran hebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 3:52 PM