PENCEMARAN Sungai Kim Kim tidak menjejaskan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke Johor.
PENCEMARAN Sungai Kim Kim tidak menjejaskan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke Johor.
Nurul Amanina Suhaini


PENCEMARAN Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, tidak menjejaskan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung berkata, walaupun insiden itu berlarutan selama kira-kira dua minggu, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai keengganan pelancong datang ke Johor.

“Johor masih selamat untuk dikunjungi. Kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan atau aduan yang berhubung kait dengan pelancong tidak mahu melancong ke negeri ini.

“Johor adalah negeri yang mempunyai tempat menarik dan tentu sahaja kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa akan meningkat setiap tahun.

“Dengan pembabitan pelbagai pemain industri pelancongan, perangkaan kemasukan pelancongan mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 15.84 juta orang pada hujung tahun lalu iaitu peningkatan 8.82 peratus atau 1.4 juta orang, berbanding hanya 14.44 juta kemasukan pelancong pada 2017,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Cai Tung berkata, kerajaan negeri mensasarkan kemasukan pelancong sehingga 16.6 juta orang tahun ini, selain mengharapkan kira-kira lapan juta pelancong menginap di Johor untuk sekurang-kurangnya satu malam.

Tahun depan, katanya, dengan adanya Tahun Melawat Johor 2020 dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, diharapkan jumlah kemasukan mencecah sekurang-kurangnya seramai 17.4 juta orang dengan 8.4 juta pelancong menghabiskan sekurang-kurangnya satu malam di sini.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya menggalakkan pemain industri di setiap 10 daerah di Johor memainkan peranan lebih proaktif dalam menyumbang pembangunan pelancongan negeri selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Industri pelancongan Johor akan membangun dengan jayanya apabila ada kerjasama daripada semua pihak kerana ia bukan sahaja memberi gambaran positif kepada imej Johor, malah memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 2:55 PM