WANITA berusia 38 tahun yang mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran membabitkan dua unit rumah di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur, hari ini, berjaya diselamatkan pihak bomba. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN pantas anggota bomba menyelamatkan nyawa seorang wanita dalam kejadian kebakaran membabitkan dua unit rumah di tingkat tiga rumah kedai di Lorong Haji Taib 1, di Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 1.54 tengah hari tadi.

“Seramai 35 anggota bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, BBP Sentul dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak. Kami difahamkan ada wanita berusia 38 tahun mengalami sesak nafas dan bertindak mengeluarkan mangsa dari lokasi kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, wanita terbabit kemudian diserahkan kepada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian. Kejadian itu menyebabkan dua unit rumah kedai terbabit musnah.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 4:12 PM