AZLAN meniaga makanan goreng di Bandar Ekar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau. FOTO Saifullizan Tamadi
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

PERKHIDMATAN jalur lebar di daerah Rantau diharap dapat dipertingkatkan terutamanya di luar bandar bagi memudahkan masyarakat mengakses maklumat.

Penduduk tempatan, Azlan Kadri, 35, berkata, ada sesetengah lokasi hanya sekadar mendapat liputan internet 3G dan keadaan ini menyebabkan akses internet agak perlahan.

Beliau berkata, hampir semua bergantung kepada perkhidmatan jalur lebar menyebabkan kelajuan berkurangan.

“Kawasan luar bandar masih hanya mendapat liputan 3G dan berharap kelajuan itu dapat ditingkatkan kepada 4G dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan untuk menambah menara telekomunikasi terutama di luar bandar agar kelajuan internet ditingkatkan,” katanya ketika ditemui.

Selain ituz, Azlan berkata, perkhidmatan jalur lebar percuma juga antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri bagi membantu masyarakat khususnya pelajar sekolah mengakses internet.

Seorang lagi penduduk, Munira Abdul Radzak, 27, berkata, masalah banjir juga perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri kerana sering berlaku pada musim tengkujuh.

Katanya, sistem perparitan khususnya di kampung tidak diselenggara dengan baik menjadi antara punca limpahan Sungai Kuala Linggi ke kawasan rendah.

“Penduduk gelisah setiap kali musim tengkujuh kerana terpaksa berpindah apabila rumah dinaiki air dan lebih menyedihkan mereka kebanyakannya adalah warga emas.

“Penyelesaian segera perlu dilaksanakan kerajaan negeri supaya penduduk tidak terus dibelenggu kebimbangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:24 PM