Amirul Aiman Hamsuddin


“HANCUR luluh hati saya melihat rumah pusaka peninggalan arwah bapa sejak 51 tahun lalu hangus terbakar,” kata Tumiran Dimyati, 51, pemilik rumah di Parit 13, Sungai Nibong, Sekinchan yang musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, rumah berstruktur batu dan kayu berkenaan terbakar, namun tidak membabitkan mangsa.

Tumiran berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya, Siti Mariati Jawos, 67, dan anak lelaki, Muhammad Isa Tumiran, 15, menghadiri mesyuarat.

“Ketika itu, saya dan ibu sedang bermesyuarat manakala anak (Muhammad Isa) pulang ke rumah untuk membuang air besar.

“Ketika anak ingin masuk ke dalam rumah, dia ternampak api menjulang tinggi dan memusnahkan bilik tidur di bahagian belakang.

“Panik dengan keadaan itu, dia kemudian memecahkan pintu depan dan cuba menyelamatkan dokumen peribadi serta kunci kenderaan namun gagal,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi Muhammad Isa lalu bergegas ke lokasi kejadian.


RUMAH milik Tumiran yang musnah dalam kebakaran. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

“Setibanya tiba, saya melihat api sudah memusnah hampir keseluruhan rumah dan menyedari Perodua Kancil milik saya yang berada di depan rumah.

“Tanpa berfikir panjang, saya segera memecahkan cermin pemandu dan mengalihkannya ke lokasi lain,” katanya.

Tumiran berkata, rumah berusia 51 tahun itu satu-satunya peninggalan arwah bapa yang meninggal dunia lima tahun lalu.

“Saya terkilan gagal menyelamatkan rumah yang menjadi tanda kenangan buat saya dan ahli keluarga lain.

“Bagaimanapun, saya bersyukur tiada sesiapa cedera dalam kebakaran itu. Berikutan kejadian ini saya akan menetap di rumah saudara terdekat buat sementara,” katanya yang mendakwa kerugian hampir RM50,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan 9.56 pagi.

“Sepasukan 13 anggota dengan bantuan BBP Sekinchan dan Sungai Besar dikerah memadamkan kebakaran yang berjaya dikawal tidak lama kemudian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:40 PM