ANTARA mangsa cedera dibawa keluar dari Jabatan Kecemasan Dan Trauma, Hospital Putrajaya. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SYARIKAT pembekal tenaga kerja, Mutiara Kayamas Sdn Bhd mengesahkan 44 mangsa termasuk pemandu bas yang terbabit dalam insiden bas pekerja menjunam di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASKargo, Sepang adalah pekerja mereka.

Pegawai Sumber Manusia syarikat berkenaan, Nur Nadiah Wahab berkata, pada masa ini, seramai 16 mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya dan seorang daripadanya meninggal dunia selepas menerima rawatan.

Katanya, mangsa yang selebihnya dimasukkan ke Hospital Serdang, Banting dan Kajang.

“Pihak majikan sedang menghulurkan bantuan diperlukan pekerja yang terselamat dalam kemalangan ini dan biarkan mereka berehat.

“Selain itu, pihak syarikat juga sedang melakukan proses sepatutnya untuk penghantaran pulang mayat mangsa ke negara masing-masing," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, tinjauan Harian Metro di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya mendapati, tujuh mangsa dibenarkan keluar dan kelihatan wakil syarikat menjemput mereka dengan tiga kenderaan.

Difahamkan, mereka dibawa ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Bagaimanapun usaha pemberita untuk menemuramah mangsa bagi mendapatkan gambaran mengenai kemalangan itu tidak berhasil kerana mereka dikawal ketat oleh wakil syarikat.

Harian Metro melaporkan, 11 individu termasuk dua wanita maut selepas bas pekerja dinaiki mereka menjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASKargo, di Sepang malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, lapan penumpang warga asing dan seorang pemandu bas tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi penumpang warga asing turut disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.

Berita berkaitan:

  • 10 maut nahas bas pekerja
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 12:12 PM