NADZIM (duduk tengah) bersama Zamri (duduk kiri) serta Mohd Asna (duduk kanan) pada majlis Pelancaran Kerjasama Strategik dan Perlantikan Mohd Asna sebagai Penasihat Kehormat PEMA di UIC Nilai, hari ini. FOTO ihsan UIC.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PERTUBUHAN Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) memberi fokus membantu penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terpaksa mengikat perut kerana kekurangan wang.

Presidennya, Zamri Zaimon berkata, PEMA merancang menjadi orang tengah mengumpulkan dana daripada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

“Kami akan menubuhkan Unit Khas Biasiswa untuk membantu penuntut terbabit dan berurusan bersama pengusaha restoran dan pasar raya untuk menyalurkan pemberian makanan percuma.

“PEMA bekerjasama dengan syarikat korporat untuk menaja pengajian ijazah sebelum penuntut diambil bekerja. Ia boleh meningkatkan kualiti kerja dan keberuntungan syarikat.

“Pada masa sama syarikat boleh diberi pelepasan cukai oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik di Kolej Antarabangsa Unifield (UIC) di Nilai, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Dalam pada itu, Zamri berkata, PEMA melantik Pengarah Urusan UIC, Mohd Asna Amin sebagai Penasihat Kehormat pertubuhan itu bagi memantapkan ekonomi ummah.

Beliau berkata, pemilihan itu dibuat berikutan Mohd Asna adalah usahawan berjaya yang memiliki kolej sendiri.

“Mohd Asna yang juga Pengerusi Masjid Taman Lavender Heights, Senawang akan membantu dalam pendidikan dan keusahawanan bagi melahirkan lebih ramai usahawan Islam berdaya saing.

“Pelantikan ini menjurus kepentingan ekonomi umat Islam secara berjemaah dan kami mahu setiap ummah berjaya bersama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asna berkata, pelantikan itu adalah amanah besar untuk menggerakkan ekonomi usahawan Islam dengan pihaknya akan menganjurkan kursus dan latihan keusahawanan secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 11:41 PM