GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan tiga individu termasuk dua anggota polis bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan bernilai lebih RM9,700, semalam.

Menurut sumber SPRM, dua anggota polis berpangkat Sarjan dan Lans Koperal yang masing-masing berusia 27 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira 5 petang dan 6.20 petang.

Katanya, seorang lagi lelaki berusia 45 tahun ditahan pada 10.45 malam.

“Tiga lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Kelantan selepas hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati dua anggota polis itu menerima wang suapan sebanyak RM9,700 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Sumber berkata, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi ini.

Katanya, tiga lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:23 AM
Digital NSTP Subscribe