BINTANG aksi Hollywood, Steven Seagal. FOTO Instagram Steven Seagal


BINTANG aksi Hollywood, Steven Seagal dijangka membuat penampilan istimewa sempena Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa Asean (AIFFA) 2019 di Kuching, yang berlangsung pada 25 hingga 27 April.

Beliau akan berada di bandar raya ini sepanjang tiga hari festival berkenaan bersama beberapa selebriti tempatan dan antarabangsa lain antaranya Datuk Sheila Majid dan bekas pengacara Asia’s Got Talent, Marc Nelson dan Rovilson Fernandez.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak sangat bernasib baik kerana dapat menarik kehadiran pelakon veteran yang terkenal menerusi filem aksi itu pada penganjuran AIFFA tahun ini.

“Beliau (Seagal) dijadual akan bertemu dengan peminat di Kompleks Mahkamah Lama pada 3 petang, 27 April ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee dan pengarah AIFFA, Livan Tajang.

Sebelum ini, bintang filem yang pernah menghadiri AIFFA ialah Datuk Jackie Chan, Donnie Yen dan Tan Sri Michelle Yeoh.

AIFFA 2019 adalah edisi keempat festival dwi tahunan yang disifatkan oleh Abdul Karim sebagai penuh bermakna bagi Sarawak kerana ia bertepatan dengan Kempen Melawat Sarawak.

“Ini adalah satu daripada acara yang dapat mempromosikan Sarawak ke dalam industri pelancongan dan filem. Sejak penganjuran pertama AIFFA pada 2013, festival ini sudah berkembang festival filem utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Katanya lagi, turut diadakan sempena AIFFA 2019 iaitu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AIFFA dengan Alibaba Pictures Group, syarikat produksi filem Cina di bawah Alibaba Group, yang menghasilkan filem pecah panggung seperti Mission: Impossible - Fallout and Star Trek Beyond .

“Mereka akan datang menandatangani MoU dengan AIFFA untuk masuk ke Sarawak atau Malaysia membuat penggambaran filem.

“Bagi syarikat produksi besar yang datang ke Kuching untuk festival filem ini, ia menggambarkan bahawa mereka mempunyai keyakinan terhadap AIFFA dan mahu mengetahui lebih banyak tentang Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Sebanyak 29 filem yang disenarai pendek dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Myanmar, Brunei, Kemboja, Vietnam, Laos dan Filipina bersaing untuk beberapa anugerah yang dipertandingkan antaranya kategori Penggambaran Terbaik - Drama, Penggambaran Terbaik - Aksi, Penggambaran Terbaik - komedi, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Pembantu Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik serta Pengarah Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 10:19 AM